Thursday, November 17, 2011

Novel : Bara Yang Tak Pernah Padam 1

 Bab 1

AWAL pagi itu cuaca agak mendung. Tompok-tompok awan hitam sudah memenuhi ruang atmosfera. Angin bertiup kencang. Zeti Hanani baru sahaja selesai mandi. Dia menutup jendela kamar yang terbuka. Tubuhnya menggigil kesejukan. Segera dia menyarungkan pakaian. Pagi Khamis itu, seperti biasa dia mengenakan pakaian kerja berwarna oren serta tudung berwarna hitam. Tudung itu merupakan pemberian ibunya, Puan Rohaya sempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke 23 tahun lalu.

Wajahnya tampak ayu apabila bertudung. Di tambah pula dengan solekan bedak yang nipis membuatkannya begitu anggun. Dia mengerling jam di tangannya. Sudah menghampiri ke pukul 8.20 pagi. Setelah siap berhias ala kadar, dia menjamah sekeping roti serta secawan kopi. Cukuplah untuk mengalas perutnya sehingga menunggu waktu makan tengah hari. Seperti biasa, begitulah rutin hariannya sebelum pergi ke tempat kerja.

“Awal betul kau bersiap pagi ni, Zeti? Selalunya nak dekat pukul 9 pagi baru kau gerak ke tempat kerja,” sapa Puan Rohaya, ketika Zeti Hanani sedang bersarapan di dapur.

“Memanglah Zeti kena pergi awal pagi ni, mak. Cuba mak tengok di luar tu, mendung semacam saja. Risau pula kalau hujan turun. Tak pasal-pasal nanti, terkandas kat tengah jalan.” Perkara itulah yang amat merisaukan Zeti Hanani. Dia bimbang sekiranya hujan turun lebat sehingga membataskan perjalanannya ke tempat kerja. Tambahan pula, dia menaiki motosikal untuk pergi ke tempat kerja.

“Yalah tu. Baik kau pergi sekarang sebelum hujan turun. Jangan lupa bawa bekal nasi tu. Mak dah siapkan pagi tadi.” Puan Rohaya segera mengingatkan Zeti Hanani agar tidak lupa membawa bekas berisi makanan yang sudah disiapkan.

Zeti Hanani pantas mencapai sebuah bungkusan plastik berisi makanan yang terletak di atas meja. Langkah kakinya dipercepat. Sebelum melangkah ke luar rumah, dia sempat menyalami tangan ibunya dan mencium kedua-dua belah pipi Puan Rohaya. Sejak kecil, begitulah sikapnya setiap kali mahu pergi ke sekolah. Sikap manjanya itu terbawa-bawa sehingga ke saat ini. Puan Rohaya hanya tersenyum melihat kerenah Zeti Hanani. Dia faham benar dengan perangai  anak gadisnya itu

Hanya Zeti Hanani sahaja satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Dia mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan hasil perkahwinannya dengan suami tersayang. Zeti Hanani merupakan anak sulung manakala anak bongsunya pula bernama Zulfadli. Mereka berdualah yang menjadi sandaran dan kekuatannya untuk meneruskan kehidupan semenjak arwah suaminya, Ibrahim menghadap Ilahi kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Arwah suaminya meninggal dunia kerana menghidap serangan jantung.

Ketika itu, Zeti Hanani baru berusia 14 tahun. Puan Rohaya terpaksa mengambil upah membuat kuih dan menjualnya di gerai-gerai untuk menyara hidup mereka tiga beranak. Mujurlah dia seorang yang tahu berjimat-cermat. Hasil penjualan kuihnya itu akan disimpan setiap kali ada baki yang tersisa. Berkat jimat cermatnya, dia mampu menanggung biaya persekolahan Zeti Hanani dan Zulfadli. Sememangnya, hidup menjadi janda bukanlah semudah yang dijangka. Terlalu banyak dugaan perlu ditempuhi sepanjang berhadapan dengan masyarakat sekeliling.
********

ZETI HANANI tiba di Pasar Raya Ekonomi tepat jam 8.50 pagi. Sebaik sahaja meletakkan motor Honda miliknya di tempat parkir, hujan pun turun dengan lebat sekali. Nasib baik dia bertolak awal tadi. Kalau tidak, sudah pasti dia basah kuyup dalam perjalanan menuju ke sini. Zeti Hanani menarik nafas lega sebelum memasuki ruang untuk punch card. Ternyata, dia adalah orang yang paling awal datang pagi ini.

Setelah usai melakukan aktiviti wajib itu, dia berehat sebentar di sebuah kerusi yang terletak di ruang hadapan. Matanya meliar mencari kelibat Roziana, teman sekerjanya. ‘Mana pula si Ana ini. Tak nampak pun batang hidung dia sejak tadi. Biasanya, waktu-waktu begini dia sudah sampai. Barangkali dia terlewat pagi ini sebab hujan.’ Zeti Hanani bermonolog dalam hati, cuba membuat andaian mengikut kaca matanya sendiri.

Dia gembira dan seronok bekerja di Pasar Raya ini. Sudah hampir tiga tahun dia mencurahkan bakti di sini semenjak tamat belajar di tingkatan enam atas. Niat awal Zeti Hanani sebenarnya ingin menyambung pelajaran di peringkat universiti. Namun, dia terpaksa melupakan hasratnya itu kerana ibunya tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung kos pembiayaannya ketika berada di sana.

Zeti Hanani akur dengan ketentuan itu. Dia tidak mahu membebankan ibunya. Selama ini, Puan Rohaya sudah banyak berkorban dan berjasa pada dirinya. Biarlah kali ini, dia pula yang membantu ibunya. Begitulah tekadnya. Atas dasar itulah dia mengambil keputusan untuk bekerja di pasar raya ini. Walaupun gajinya kecil, namun duitnya berkat. Setiap bulan, dia akan memberikan separuh wang daripada gajinya kepada Puan Rohaya. Selebihnya, dia menggunakannya untuk membeli keperluan diri.

Beberapa minit menunggu, akhirnya Roziana tiba ketika hujan sudah beransur-ansur reda. Sahabat baiknya itu datang ke tempat kerja pagi ini dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi bersama seorang jejaka. Barangkali itu teman lelakinya, congak Zeti Hanani.

Sebelum keluar dari perut kereta, Roziana dilihatnya berbual sebentar dengan lelaki itu. Mesra sungguh tingkah mereka berdua. Siapa pula lelaki itu, ya? Sebelum ini, tidak pernah nampak pun. Sesudah itu, Roziana terus menuju ke arah Zeti Hanani apabila menyedari kehadirannya di situ.

“Hai, lambat kau sampai pagi ni. Selalunya sebelum pukul 9 pagi kau dah terpacak kat sini. Siapa lelaki tadi tu? Aku tak pernah nampak pun. Pakwe baru kau ke?” soal Zeti Hanani bertubi-tubi, seolah-olah memerangkap Roziana dalam situasi yang merimaskannya.

“Ish, banyaknya soalan kau. Tak ada maknanya pakwe aku. Lelaki tadi tu sebenarnya sepupu aku. Dia tinggal dekat Kuala Lumpur. Dia balik ke sini sebab ada urusan kerja di Johor. Alang-alang dah sampai Johor, sebab tu dia singgah bermalam di rumah aku. Petang nanti dia balik semula ke JB,” terang Roziana satu per satu, menjelaskan perkara sebenar kepada Zeti Hanani.

“Oh ya ke. Aku ingat boyfriend baru kau tadi. Rupa-rupanya sepupu.” Zeti Hanani sudah tersengih-sengih memandang wajah Roziana.

“Yang kau tersengih-sengih macam kerang busuk ni, kenapa? Dah buang tabiat?” Roziana malas melayan kerenah Zeti Hanani. Dia pantas melangkah masuk ke ruang dalam untuk membuka pintu hadapan. Zeti Hanani hanya mengekori langkahnya dari belakang.

“Tapi aku tengok tadi, kau mesra semacam aje dengan dia. Jangan-jangan, ada apa-apa tak. Manalah tahu, kan.” Zeti Hanani masih belum puas mengusik sahabatnya yang dikenali sejak sekolah rendah lagi. Mereka berdua memang akrab umpama belangkas. Ke mana sahaja mereka pergi pasti bersama.

Roziana tetap membisu tanpa memberikan sebarang reaksi terhadap kata-kata Zeti Hanani. Dia tekun menyusun barang-barang di bilik stor. Setiap hari, begitulah tugas yang harus dia lakukan. Almaklumlah, tugasnya sebagai seorang jurujual memerlukan dia menyusun atur setiap barang yang ada di pasar raya itu.

“Kenapa kau diam, Ana. Kau tak jawab pun pertanyaan aku tadi. Biasanya orang kalau diam ni, itu maknanya betul.”

“Ya Allah, Zeti! Kau ni tak habis-habis lagi ke dengan soalan basi macam tu. Aku malaslah nak melayan kerenah kau. Cuba kau tengok barang-barang yang berlambak kat dalam stor ni. Kalau bukan aku yang kemas, siapa yang nak diharapkan lagi. Lebih baik kau buat kerja kau kat depan. Pergilah cepat! Menyibuk aje.”

Roziana menarik muka masam. Dia cukup pantang jika orang bertanyakan soal peribadi kepadanya. Dia belum bersedia untuk memberitahu perkara sebenar tentang hubungan cintanya dengan lelaki kacak, merangkap sepupunya itu. Selama ini, rahsia itu disimpan kukuh dari pengetahuan Zeti Hanani. Sudah hampir lima bulan dia menjalinkan hubungan cinta dengan Zaid, sepupu di sebelah ibunya itu. Bukan niatnya untuk menyorokkan hal peribadinya, namun dia merasakan buat masa sekarang biarlah keluarga dia sahaja yang tahu akan hal ini. Sampai masanya nanti, dia akan beritahu Zeti Hanani.

Roziana sedang tekun meneliti senarai-senarai barang yang baru masuk semalam. Pagi ini dia perlu menyusunnya di tempat biasa. Segala peralatan peribadi seperti alat tulis, minyak wangi, serta barang-barang dapur merupakan barangan yang sering kehabisan stok. Namun, terdapat juga barang-barang return dan tamat tempoh. Biasanya, barang-barang itu akan dipunggah masuk ke dalam stor untuk dipulangkan semula kepada pengedar.
***********

PERJALANAN dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru sememangnya amat meletihkan Khirul Zaman. Sudah lama dia tidak memandu sejauh itu. Oleh sebab mempunyai urusan kerja yang perlu diselesaikan di sana, telah memaksa Khirul Zaman bermastautin di daerah itu dalam jangka masa sebulan. Dia mempunyai tender baru berkaitan projek perumahan di kawasan Kota Tinggi. Mengikut alamat yang tertera dalam tender itu, kawasannya terletak di Pengerang.
            
Dia sendiri tidak pernah pergi ke kawasan pedalaman seperti itu. Selama sebulan menetap di sana, Khirul Zaman bercadang untuk menginap di hotel sahaja memandangkan dia tidak mempunyai kaum kerabat di situ. Khirul Zaman baru sahaja memasuki sebuah pekan kecil yang dikenali dengan nama pekan Sungai Rengit. Saat itu jam baru sahaja menginjak ke angka 11 pagi. Tenang sahaja pemandangan di sekitar kawasan itu. Tempatnya agak menarik kerana berdekatan dengan laut.
           
Khirul Zaman gembira ketika menjejakkan kaki di sini. Jiwanya tenang dari segala bebanan kerja. Dia seolah-olah sedang bercuti di tempat baru itu. Tidak menyangka, kawasan pedalaman seperti ini lebih menarik suasananya berbanding dengan bandar Kuala Lumpur. Walaupun tempatnya terletak di kawasan perkampungan, namun hatinya cepat sahaja terpaut. Sedang leka melayan panorama indah yang terbentang di hadapan mata, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Pantas dia menjawab panggilan itu.
            
“Hello, sayang! You dah sampai ke? I rindulah dekat you.” Belum sempat Khirul Zaman bersuara, telinganya sudah menangkap suara manja milik Erlin Nadia, kekasih hatinya.
           
“I baru saja sampai ni. You rindu kat I ke? Hai, baru sehari tak jumpa takkan dah rindu kot. Kalau kerja I kat sini dah settle, I baliklah semula ke KL jumpa you. Sabarlah, sayang,” pujuk Khirul Zaman, cuba mengambil hati Erlin Nadia.
            
“Yalah tu. Tempoh sebulan bukannya singkat tau. Lama juga I kena tunggu you. You tu ingat sikit. Jangan nak menggatal dengan mana-mana perempuan kat situ. Kalau I tahu, siaplah you I kerjakan.” Suara Erlin Nadia kedengaran serius. Sememangnya dia risau perihal teman lelakinya yang seorang itu. Pantang nampak perempuan dahi licin sedikit, mulalah dia nak masuk jarum.
            
Khirul Zaman hanya mampu tersenyum mendengar nasihat kekasihnya itu. Dia amat menyayangi gadis itu. Sudah hampir enam tahun dia mengenali Erlin Nadia. Ketika itu, mereka berdua sedang menuntut di Universiti Malaya. Sehingga ke saat ini, mereka masih menjalinkan hubungan cinta tanpa mempunyai sebarang ikatan. Khirul Zaman belum bersedia lagi untuk memikirkan hal yang satu itu. Buat masa ini, tumpuannya hanyalah pada kerja semata-mata.

Pernah juga Erlin Nadia menyuarakan isi hati untuk mendirikan rumahtangga dengannya suatu masa dahulu. Namun, Khirul Zaman sentiasa mengelak setiap kali diajukan pertanyaan itu. Dia akui, memang dia menyayangi gadis cantik itu. Tetapi, untuk menyunting Erlin Nadia sebagai isteri sahnya, dia tidak berani. Gadis liar seperti Erlin Nadia bukanlah calon yang sesuai untuk menjadi suri dalam hidupnya. Biarlah Allah sahaja yang menentukan siapa jodohnya kelak. Khirul Zaman malas mengusutkan fikiran dengan masalah rumit begitu.

Setelah agak lama membisu, akhirnya dia bersuara semula. “You jangan risau, sayang. Cinta I hanya buat you seorang sahaja. Tiada gadis lain yang boleh gantikan tempat you. Please believe me. I nak you percaya cakap-cakap I ni. I akan tetap setia dengan cinta kita.” Beria-ia benar Khirul Zaman meyakinkan Erlin Nadia.

Erlin Nadia termakan juga pujuk rayu Khirul Zaman. Tiada apa yang lebih indah di dunia ini selain memiliki cinta Khirul Zaman. Hampir enam tahun menyulam cinta, dia amat mengharapkan antara mereka berdua akan ada satu ikatan suci yang dapat mengeratkan lagi kasih mereka berdua.

“Kalau betul you sayangkan I, cepat-cepatlah kita kahwin. I takut nanti, you disambar orang pula. Biasalah lelaki kacak dan berharta macam you ni. Dah tentu ramai anak gadis di luar sana tergila-gilakan you,” ujar Erlin Nadia lagi. Bicaranya itu berbaur kebimbangan.

“Buat masa ni tak bolehlah, sayang. I masih busy dengan urusan kerja. Banyak projek perumahan I kena handle. I belum bersedia untuk semua itu. You sabarlah sikit. I tak akan lari ke mana-mana. Kalau I lari, you kejarlah nanti. Hehee…” Khirul Zaman cuba berjenaka.

Lawak jenaka Khirul Zaman itu tidak sedikit pun terkesan di hati Erlin Nadia. Dia benar-benar serius dengan ucapannya tadi. Bicaranya itu bukanlah sekadar cakap-cakap kosong. Walau apa cara sekali pun, dia tetap dengan pendiriannya itu.

“I cakap serius ni, Rul. Bukannya main-main. Menyampahlah macam ni.” Erlin Nadia sudah merajuk. Geram dia dengan perangai selamba Khirul Zaman. Kalau Khirul Zaman sedang berada di hadapannya saat itu, mahu sahaja dia menumbuk muka lelaki itu. Biar dia tahu diri.

“Okey-okey. I mengaku ini semua salah I. I minta maaf ya, sayang. I janji, lain kali I tak buat lagi. Promise!” Khirul Zaman mengangkat tangan seperti bersumpah, seolah-olah Erlin Nadia dapat melihat perbuatannya itu.

“Pandailah you nak ambil hati I. I tak kira, Rul. Apa pun yang terjadi, I nak kita menikah dalam masa terdekat ini. You jangan nak beri macam-macam alasan. Kita bercinta bukannya baru lagi tau. Nak dekat enam tahun dah. You fikirlah baik-baik apa yang I cakapkan ni. I betul-betul sayangkan you. I tak nak kehilangan you dalam hidup I.”

Khirul Zaman terdiam sejenak memikirkan segala kata-kata Erlin Nadia itu. Kasihan pula dia apabila mendengar pengakuan ikhlas dari Erlin Nadia. Tidak sampai hati dia menghancurkan harapan gadis itu.

“Baiklah, Lin. I akan fikirkan dulu kata-kata you tu. Berikan I sedikit masa untuk membuat keputusan. You jangan risau sangat. Jaga diri you baik-baik kat sana. I tak boleh bercakap lama sangat ni. I nak pergi check in hotel dulu. Selepas tu, I nak pergi ke tapak projek kat Pengerang. Nanti I call you semula, okey.”

“Baiklah. Hati-hati drive. Bye!”

Khirul Zaman terus mematikan talian sebaik sahaja Erlin Nadia selesai berbicara. Dia meninjau-ninjau kawasan di sekitar pekan Sungai Rengit. Niatnya ingin mencari sebuah hotel sebagai tempat penginapannya pada malam ini. Mujurlah ada sebuah hotel yang terletak kira-kira 100 meter dari tempatnya berdiri. Dia bercadang untuk menginap di hotel itu buat sementara waktu. Dari jauh, dia sudah dapat membaca nama hotel yang tertera di situ. HOTEL HIAP HWA. Begitulah nama hotel tersebut.

Tanpa membuang banyak masa, Khirul Zaman terus menuju ke arah hotel itu. Namun sebelum itu, dia singgah sebentar di Maybank yang terletak bersebelahan dengan Hotel Hiap Hwa untuk mengeluarkan sedikit wang. Biasanya, dia tidak membawa duit tunai semasa outstation. Bimbang juga jika dirompak oleh orang jahat. Dia perlu berhati-hati setiap masa. Ragam manusia di era globalisasi seperti ini ada bermacam-macam jenis. Ibarat kata orang, rambut sama hitam, hati lain-lain. Sebelum terjerat dengan situasi seperti itu, lebih baik dia berwaspada.
****************

TEPAT jam 12 tengah hari, Zeti Hanani bergegas keluar dari Pasar Raya Ekonomi. Perutnya sudah berbunyi-bunyi sejak tadi. Sekarang ini merupakan masa rehatnya. Roziana pula akan berehat selepas satu jam dia berehat. Seperti biasa, begitulah jadual harian mereka berdua. Mereka tidak dibenarkan keluar makan dalam satu masa serentak. Setiap masa, pasar raya itu perlu ada seorang pekerja yang menjaga kaunter bayaran.
           
Zeti Hanani segera mencapai bekal makanan yang dibawa dari rumah pagi tadi. Dia lantas menuju ke Warung Pak Dollah untuk makan tengah hari. Walaupun membawa bekal dari rumah, namun Zeti Hanani sering berkunjung ke warung itu kerana dia tidak membawa minuman bersama. Di situlah dia menghabiskan masa rehatnya untuk lunch.
            
Ketika itu, suasana agak bising dengan suara pengunjung. Kebanyakkannya, mereka yang bekerja berhampiran dengan Warung Pak Dollah. Zeti Hanani segera mengambil tempat kosong, menghadap ke arah jalan raya. Mujurlah dia cepat ke sini tadi, Jika tidak, sudah tentu dia terpaksa duduk bersama-sama pelanggan lain yang rata-rata datang dengan kawan masing-masing. Tempat duduk yang dipilihnya itu agak privacy sedikit kerana hanya mempunyai dua buah kerusi sahaja.
            
Zeti Hanani memulakan suapan pertama dengan lafaz bismillah. Seleranya bertambah apabila menikmati lauk kesukaannya itu iaitu Ayam Masak Merah. Rajin benar ibunya membuat masakan istimewa begini buatnya. Air tangan ibunya memang sedap. Apa sahaja makanan yang dimasak oleh Puan Rohaya tidak pernah menghampakannya. Secara jujur, masakan ibunya itu lebih sedap berbanding dengan makanan yang ada di Warung Pak Dollah ini. Memang first class.
            
Sedang leka menikmati masakan ibunya itu, tiba-tiba muncul seorang jejaka sambil membawa pinggan berisi makanan. Pemuda itu seperti mencari-cari tempat duduk. Zeti Hanani buat-buat tidak nampak kehadiran lelaki itu. Pandangannya dialihkan ke tempat lain. Dia berdoa dalam hati agar lelaki itu tidak duduk di tempatnya. Dia agak kekok apabila makan berdua-duaan dengan lelaki begitu.
            
Kerisauan Zeti Hanani itu nampaknya benar-benar berlaku. Setelah puas mencari tempat duduk, akhirnya lelaki itu mengambil keputusan untuk duduk di sebuah kerusi yang masih kosong. Zeti Hanani terkejut sebaik melihat pemuda itu duduk di tempatnya. Dia cuba tersenyum agar tidak dikatakan sombong. Perasaan gementarnya saat itu hanya Allah sahaja yang tahu.
            
“Boleh saya duduk di sini, saudari?” soal lelaki itu agak ramah. Dia memandang wajah Zeti Hanani tanpa berkelip.
            
“Em, boleh…boleh. Duduklah!” Zeti Hanani agak gugup apabila bertentang mata dengan anak muda itu. Penampilannya sungguh kemas serta memiliki personaliti yang menarik. Dari gerak-geri, Zeti Hanani dapat mengagak lelaki itu bukanlah calang-calang orang. Barangkali, anak orang kaya. Begitu pendapat Zeti Hanani.
            
Khirul Zaman baru sahaja selesai keluar dari Hotel Hiap Hwa. Selepas meletakkan barang-barangnya di hotel itu, dia terus menuju ke warung ini. Dia ingin mengisi perutnya yang kosong itu terlebih dahulu sebelum pergi ke tapak projek. Tidak menyangka dia akan bertemu dengan seorang gadis ayu di sini. Wajahnya seperti familiar sahaja di mata Khirul Zaman.
            
“Saya macam pernah nampaklah awak sebelum ni. Tapi, saya dah lupa kat mana kita jumpa,” ucap Khirul Zaman menyuarakan isi hatinya yang terbuku sejak tadi.
           
Zeti Hanani sedikit terkejut mendengar pengakuan berani dari anak muda itu. ‘Biar betul dia ini. Bila masa pula aku jumpa dia?’ Zeti Hanani tertanya-tanya sendiri.
            
“Saya rasa, awak ni dah tersilap orang kot. Kita baru pertama kali aje bertemu. Bila masa pula awak nampak saya ni?” Zeti Hanani membetulkan sedikit posisi duduknya. Dia seakan resah apabila berhadapan dengan pemuda yang baru dikenalinya itu.
            
“Oh, ya. Baru saya ingat.” Khirul Zaman sudah mengingati pertemuan pertama mereka berdua kira-kira lima bulan yang lalu. Ketika itu, beg tangan Zeti Hanani diragut oleh dua orang mat motor di Danga Bay. Dialah orang yang sudi menawarkan bantuan untuk membantu gadis malang itu. Sayangnya, dia tidak sempat mengambil nombor telefon Zeti Hanani saat itu kerana ada hal penting yang harus diuruskan berkaitan kerja. Nama gadis itu pun dia tidak tahu.
            
Semenjak pertemuan pertama itu, hatinya sudah terikat kukuh. Dia benar-benar menyesal kerana tidak sempat berkenalan dengan gadis itu. Akibatnya, dia yang merana. Saban waktu dia asyik teringatkan Zeti Hanani. Niatnya untuk mencari keberadaan Zeti Hanani di Johor Bahru tidak berhasil disebabkan dia tidak mengetahui di mana gadis cantik itu tinggal.
            
Zeti Hanani masih menanti dengan sabar ayat yang akan keluar dari mulut Khirul Zaman. Sebenarnya, dia juga merasakan hal yang sama seperti lelaki itu. Wajah Khirul Zaman seakan-akan sama dengan wajah pemuda yang pernah menyelamatkannya dahulu. Ingin sahaja dia bertanyakan soal itu kepada Khirul Zaman. Namun dia bimbang jika dia tersilap orang.
           
“Kalau tak silap saya, awak ni gadis yang kena ragut oleh mat motor ketika di JB dulu, kan. Ingat tak, saya yang selamatkan awak masa tu,” jelas Khirul Zaman tanpa ragu lagi. Dia benar-benar yakin dengan kata hatinya sekarang. Nalurinya kuat mengatakan gadis itulah gadis yang dia cari selama ini.
            
“Jadi, benarlah tekaan saya tadi.” Zeti Hanani sudah tersenyum simpul sebaik sahaja mendengar penjelasan dari Khirul Zaman. Tidak salah dugaannya tadi.
            
“Hehee…Tak sangka kita dapat bertemu semula. Memang dah lama saya cari awak selepas insiden tu. Kenalkan, nama saya, Khirul Zaman. Awak boleh panggil saya, Rul. Nama
awak siapa?” soal Khirul Zaman lalu menghulurkan tangan sebagai tanda perkenalan.
            
Zeti Hanani tidak menyambut huluran salam Khirul Zaman itu. Dia membiarkan sahaja lelaki itu merumuskan dirinya dari sudut positif. Barangkali, kehidupan lelaki ini terlalu moden sehingga tidak kisah jika bersentuhan kulit dengan wanita bukan muhrim. Zeti Hanani tidak menyalahkan Khirul Zaman kerana kehidupan mereka berdua terlalu jauh berbeza. Khirul Zaman menjadi malu apabila huluran tangannya tidak bersambut.
            
“Nama saya, Zeti Hanani. Kawan-kawan selalu panggil saya, Zeti.” Zeti Hanani mengerling sekilas jam di tangannya. Ada masa lebih kurang 15 minit lagi sebelum pukul 1.
           
“Saya tak boleh lama sangat ni. Masa rehat saya hanya satu jam saja. Maaflah, ya. Saya nak minta diri dulu.” Sopan sahaja tutur kata Zeti Hanani. Dia sudah bangkit untuk membayar harga minuman di kaunter.
            
“Eh, nanti dulu. Kali ini saya tak nak buat kesilapan lagi. Boleh saya minta nombor telefon awak? Saya benar-benar harap awak sudi memberikannya kepada saya.” Khirul Zaman tidak peduli dengan mata-mata yang memandang. Biarlah mukanya tebal saat itu asalkan dia dapat mengetahui nombor telefon Zeti Hanani.
           
Zeti Hanani berfikir dua tiga kali sebelum memberikan kata putus. Jika tidak mengenangkan lelaki itu yang membantunya dulu, sudah pasti dia keberatan memberikan nombor telefonnya kepada Khirul Zaman. Akhirnya dia mengalah. Nombor telefonnya sudah pun selamat berada dalam simpanan Khirul Zaman.
            
“Terima kasih ya, Zeti. Ada masa nanti kita jumpa lagi tau.”
            
Zeti Hanani terus beredar setelah membayar harga minuman di kaunter. Pada awalnya, Khirul Zaman ingin membayar harga minumannya itu. Namun Zeti Hanani terpaksa menolak kerana dia tidak mahu dianggap mengambil kesempatan. Biarlah rupanya tidak elok asalkan tahu menjaga maruah diri. Begitulah pesanan Puan Rohaya yang masih diingati sehingga ke saat ini.

No comments:

Post a Comment